Wednesday, February 6, 2008

Mermatabatkan Bahasa Melayu

Di Malaysia bahasa Melayu merupakan teras pengunaan dan perkembangan Bahasa Malaysia. Umumnya, sejarah bahasa Melayu terbahagi kepada tiga zaman revolusi, iaitu zaman kuno, klasik, dan moden. Kesusasteraan Sanskrit dan pegangan agama Hindu telah mempengaruhi sejarah awal Bahasa Melayu kuno. Tulisan yang digunakan adalah mirip tulisan Tamil. Namun begitu, kedatangan agama Islam di Tanah Melayu melalui pedagang-pedagang Islam telah memulakan revolusi kedua Bahasa Melayu. Peranan Kesultanan Melayu Melaka dalam zaman klasik ini begitu signifikan, apabila menjadikan Bahasa Melayu yang berteraskan kesusasteraan Arab sebagai bahasa rasmi kerajaan dan negara. Manakala, tulisan jawi merupakan tulisan rasmi bahasa Melayu ketika itu.Tindakan ini seterusnya berjaya mermatabatkan bahasa Melayu sehingga menjadi lingua franca seiring dengan perkembangan pelabuhan Melaka sebagai antara pelabuhan entrepot yang terkenal di dunia semasa zaman tersebut. Berbeza dengan kedatangan saudagar-saudagar Arab, kehadiran saudagar-saudagar Barat ke Melaka adalah sebagai penjajah yang membawa tiga matlamat utama, iaitu kekayaan, kemasyuran, dan juga penyebaran agama Kristian. Kehadiran penjajah-penjajah durjana ini merupakan titik mula perkembangan Bahasa Melayu zaman moden yang berteraskan kesusasteraan Inggeris dan menggunakan tulisan rumi sebagai tulisan rasmi.

Ironinya, setelah hampir genap 50 tahun kemerdekaan Malaysia yang hanya tinggal sepurnama lagi, Bahasa Melayu terus dicabar kedaulatannya. Terbaru, istilah Bahasa Melayu telah di tukarkan kembali kepada Bahasa Malaysia biarpun sekian lama termaktub di dalam rang undang- undang Perlembagaan Persekutuan, Fasal 152 yang meletakkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi dan Bahasa Kebangsaan Malaysia. Perubahan ini di umumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 5 Jun 2007, yang berhujah bahawa istilah Bahasa Melayu lebih bersifat perkauman. Adakah ini menunjukkan bangsa Melayu semakin hilang sifat ketuanannya? Atau sudahkah generasi bangsa Malaysia pasca-kemerdekaan lupa akan sejarah penubuhan negara Malaysia dan kontrak sosial yang dimeterai pada tahun 1956/57?

Namun apa yang pasti, bahasa Melayu bukanlah bahasa kelas ketiga yang menuntut para penuturnya membiarkan bahasa asing dijadikan bahasa ibunda mereka. Ini telah terbukti dengan kehadirannya dalam sejarah linguistik dunia sebagai lingua franca di sekitar kurun ke-14 sehingga awal kurun ke-15. Dalam mermatabatkan bahasa ibunda ini, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing. Tidak perlu ada pihak yang menuding jari terhadap pemodenan dan globalisasi, tetapi apa yang perlu dilihat ialah apakah sumbangan diri terhadap kedaulatan bahasa itu sendiri. Jika dikaji sejarah sesebuah tamadun, bahasa merupakan elemen asas kemajuan tamadun tersebut. Mengambil contoh sejarah tamadun Jepun moden, Bahasa Jepun telah berjaya menjadi teras pemodenan negara matahari tersebut. Ini disebabkan rakyat Jepun mempunyai jati diri yang teguh dalam mempertahankan kedaulatan bahasa itu sendiri biarpun dasar langit terbuka sudah lama bertapak di sana. Begitu juga dengan rakyat di negara ini yang seharusnya menjadi pendukung bahasa kebangsaan. Sekiranya ini berjaya direalisasikan, maka dengan sendirinya bahasa kebangsaan berjaya dimartabatkan.

Selain itu, bahasa Melayu juga telah berjaya menjadi bahasa perpaduan dikalangan rakyat yang terdiri dari pelbagai bangsa dan agama. Keadaan ini sememangnya sudah tidak asing lagi di negara ini, terutamanya apabila kita berada di pejabat-pejabat kerajaan, sekolah-sekolah, kawasan-kawasan reakreasi, ruang-ruang perniagaan dan taman-taman perumahan dimana terdapat intergrasi antara kaum.Walaubagaimanpun, sejak mutakhir ini, integrasi ini kian ketara. Antara sebab berlaku perkara ini ialah kealpaan generasi muda tentang kepentingan integrasi antara kaum dan sejarah Malaysia. Sekiranya perkara ini terus berlaku, setiap kaum akan hanya menggunakan bahasa ibunda masing-masing dan penggunaan bahasa kebangsaan terus dipinggirkan Oleh yang demikian, langkah- langkah yang drastik perlu dilakukan.Umpamanya ialah kerajaan harus menggalakan pertumbuhan bandar-bandar baru yang hanya mempunyai polarisasi kaum yang sekata.

Setiap lapisan masyarakat haruslah memainkan peranan masing-masing dalam mermatabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Bermula dengan diri sendiri sebagai unit asas dalam sesebuah masyarakat, seseorang individu itu perlu belajar, faham, serta mengamalkan penggunaan bahasa Melayu yang betul. Khususnya, setiap individu Melayu perlulah menguasai bahasa Melayu dengan sebaik mungkin kerana merekalah yang akan menjadi contoh kepada kaum-kaum lain. Sekiranya, mereka sendiri tidak mahu serta malu untuk menggunakan bahasa Melayu, bagaimana pula kaum lain ingin mengamalkannya? Justeru, setiap individu, terutamanya orang Melayu, perlu berbangga apabila menggunakan bahasa kebangsaan dan hanya golongan yang berfikiran cetek mampu memandang rendah akan kemampuan bahasa ini.

Selain itu, kerajaan perlulah memainkan peranan yang besar sekiranya benar-benar serius untuk mendaulatkan bahasa kebanggsaan. Pihak pemerintah perlulah peka dengan setiap tindakan dan dasar yang digubal. Sebagai contoh untuk menunjukkan tahap keseriusan kerajaan ialah penggunaan nama singkatan pada setiap kementerian. Contohnya, Kementerian Sains dan Teknologi yang menggunakan nama singkatan, MOSTI yang merujuk kepada Ministry of Science and Technology. Sebenarnya perkara-perkara yang sekecil ini tidak perlu dijadikan isu, tetapi kerajaan sepatutnya menunjukkan bahawa mereka adalah barisan hadapan yang memperjuangkan penggunaan bahasa Melayu.

Tambahan lagi, kerajaan perlu mengawal sepenuhnya penggunaan bahasa kebangsaan dalam media massa. Sejak kebelakangan ini, terdapat pihak-pihak tertentu yang semakin berani meminggirkan bahasa Melayu dalam arus media massa mereka dengan memberi alasan dasar langit terbuka kerajaan. Ini tidak seharusnya berlaku kerana setiap kebebasan yang melampau hanya membawa kehancuran dan kemusnahan. Antara isu yang berjaya diketengahkan pencinta-pencinta bahasa Melayu ialah kemampuan sebuah syarikat penyiaran berbayar di negara ini yang tidak menyiarkan rancangan berbahasa Melayu mengikut yang peratusan ditetapkan. Maka, kerajaan yang dipilih rakyat perlu menggubal Akta Penyiaran Negara mengikut perkembangan semasa, bukan hanya bersandarkan akta-akta lama.

Seterusnya, di peringkat pentadbiran daerah, pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah pihak yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam memastikan bahasa kebangsaan bukan bahasa kelas ketiga. PBT harus sentiasa peka dengan tahap penggunaan bahasa kebangsaan di daerah masing-masing. Contohnya, pengunaan istilah-istilah bahasa asing pada papan tanda di kedai-kedai, pemberian nama sesebuah taman-taman perumahan dan jalan-jalan baru. Kini, terdapat terlalu banyak pihak yang menamakan kawasan-kawasan perumahan baru yang tidak menggunakan bahasa Melayu. Antaranya, Tycoon Villa di Taiping, Perak. Oleh itu, PBT haruslah bersikap lebih prihatin dalam menangani fenomena yang merisaukan ini.

Walaubagaimanapun, terdapat banyak usaha yang menunjukan kerajaan masih lagi ikhlas dalam memperjuangkan bahasa kebangsaan. Sebagai contoh, sistem pentadbiran kerajaan dan sistem penyiaran kerajaan yang menggunakan sepenuhnya bahasa kebangsaan dalam setiap urusan rasmi.

Kesimpulannya, semua pihak perlu memainkan peranan dan sedar akan peranan yang boleh mereka usahakan. Generasi muda perlu berani memperjuangkan bahasa kebangsaan, seperti menulis makalah-makalah dan mengantar tulisan-tulisan tersebut ke media massa. Setiap apa yang telah berlaku haruslah dijadikan iktibar. Penukaran istilah Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia merupakan pengorbanan terbesar orang Melayu terhadap perpaduan negaranya dan kaum-kaum lain haruslah menghargai pengorbanan tersebut, seterusnya berusaha bersama-sama mejadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Maka, apa yang telah berlaku dijadikan iktibar, supaya perkara yang sama tidak berulang lagi.

JULAI 2007

2 comments:

Anonymous said...

Itu sepatutnya. Bahasa Melayu dimartabatkan sebaik-baiknya. Ada yang dengki dan terus ganggu gugat- cabaran kepada bahasa Melayu. Perjuangan perlu diteruskan.Banyak yang tidak senang dengan keunggulan bahasa ini.Lalu dilakukan pelbagai cara untuk halang dan hilangkan kehebatannya.

Unknown said...

bukan sahaja bahasa melayu yang perlu dimatabatkan tetapi juga bahasa lain2. kite x sepatutnya hanya memikirkan faedah bangsa sendiri dan membuatkan perbuatan yang terlebih kepada bangsa lain. Tajuk ini patut dituliskan "Mermatabatkan Bahasa Malaysia" dengan tidak mengirakan bangsa,bahasa, dan agama.

Kerana smua bangsa malaysia, satu negara.